USAHA-USAHA MEMUPUK PERPADUAN DAN INTEGRASI NASIONAL
Ekoran dari rusuhan etnik 13 Mei 1969, kerajaan telah melancarkan
beberapa dasar sosial, ekonomi dan politik yang berkisar mengenai
perpaduan nasional dan bersifat integrasi melalui penyesuaian bersama
berbagai-bagai kebudayaan dan ciri-ciri sosial yang dapat diterima oleh
semua kumpulan etnik dalam negara kita.
Selain
daripada memupuk perpaduan antara kaum, kerajaan juga menitikberatkan
integrasi antara wilayah, terutamanya antara Semenanjung Malaysia,
Sabah dan Sarawak.
Antara usaha-usaha yang telah diambil untuk memupuk perpaduan nasional ialah:
(a) Rukun Negara (ideology kebangsaan);
(b) Dasar Ekonomi Baru;
(c) Dasar Pendidikan Kebangsaan;
(d) Dasar Kebudayaan Kebangsaan;
(e) Bahasa Kebangsaan (Bahasa Melayu);
(f) Penubuhan Jabatan Perpaduan Negara;
(g) Pergabungan parti-parti politik melalui Barisan Nasional;
(h) Integrasi antara wilayah.
A. Rukun Negara
Rukun Negara telah dilancarkan pada 31 Ogos 1970 adalah
merupakan ideologi kebangsaan negara kita. Ideologi kebangsaan adalah
perlu bagi menimbulkan satu semangat dan identiti yang sama bertujuan
memupuk muafakat dalam kalangan masyarakat perlbagai etnik.
Lima prinsip Rukun Negara adalah seperti berikut:
(a) Kepercayaan kepada Tuhan;
(b) Kesetiaan kepada Raja dan Negara;
(c) Keluhuran Perlembagaan;
(d) Kedaulatan Undang-undang; dan
(e) Kesopanan dan Kesusilaan.
Kelima-lima
prinsip ini bertujuan untuk mewujudkan sebuah negara Malaysia yang
bersatu padu serta sebuah masyarakat Malaysia yang adil, demokrasi,
liberal dan progresif.
B. Dasar Ekonomi Baru
Dasar Ekonomi Baru (DEB) dilancarkan pada tahun 1971 melalui
Rancangan Malaysia Kedua (1971 – 1975), adalah bertujuan mewujudkan
keseimbangan ekonomi antara kaum dan wilayah bagi mencapai perpaduan
negara. Dengan kata lain, DEB bertujuan memupuk perpaduan negara melalui
pengagihan pendapatan dan peluang ekonomi yang saksama dalam kalangan
semua rakyat Malaysia.
DEB dilaksanakan menerusi strategi serampang dua mata, iaitu:
i) Pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum
ii)Penyusunan semula masyarakat supaya pengenalan etnik mengikut fungsi ekonomi dapat
dihapuskan.
C. Dasar Pendidikan Kebangsaan
Dasar Pendidikan Kebangsaan yang termaktub dalam Akta
Pelajaran 1961 adalah berasaskan kepada laporan Razak 1956 dan Laporan
Rahman talib 1960. Antara lain matlamat Dasar Pendidikan Kebangsaan ini
adalah untuk melahirkan satu masyarakat Malaysia yang bersatu padu.
Antara
langkah-langkah yang diambil bagi memenuhi matlamat Dasar Pendidikan
Kebangsaan dalam memupuk perpaduan dan integrasi nasional adalah:
i) Menggunakan bahasa Melayu (Malaysia) sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah dan
institusi-institusi pengajian tinggi.
ii) Menyediakan sukatan pelajaran yang seragam kandunganya untuk semua sekolah di
Malaysia.
iii) melaksanakan kegiatan kokurikulum.
D. Dasar Kebudayaan Kebangsaan
Pembentukan satu kebudayaan kebangsaan dapat memupuk
perpaduan menerusi satu gaya hidup dan nilai-nilai yang dipersetujui dan
dihayati bersama oleh semua kaum. Kebudayaan Kebangsaan juga dapat
mewujudkan satu identiti negara yang dapat dikenali oleh negara-negara
luar. Oleh itu, kerajaan telah menitikberatkan pembentukan secara
beransur-ansur satu kebudayaan nasional yang merangkumi unsur-unsur yang
baik daripada berbagai-bagai kebudayaan yang terdapat di negara kita
dengan berteraskan kebudayaan asli tempatan.
Tiga prinsip telah ditetapkan sebagai Dasar Kebudayaan Kebangsaan:
i) Kebudayaan Kebangsaan Malaysia hendaklah berteraskan kebudayaan rakyat asal
rantau ini;
ii) Unsur-unsur kebudayaan lain yang sesuai dan wajar boleh diterima menjadi unsur
Kebudayaan Kebangsaan; dan
iii) Islam menjadi unsur penting dalam pembentukan Kebudayaan kebangsaan.
[1]E. Bahasa Kebangsaan
Bahasa memainkan peranan penting dalam proses memupuk
perpaduan antara kaum. Justeru itu, kerajaan telah menjadikan Bahasa
Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara kita. Akta Bahasa Kebangsaan
1967 telah memperuntukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.
Mulai
tahun 1970, bahas Melayu secara berperingkat-peringkat telah
menggantikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di
sekolah-sekolah. Kerajan juga telah menjalankan kempen untuk
menggalakkan penggunaan bahasa Melayu dengan melancarkan ‘Gerakan
Cintailah Bahasa Kita’.
F. Jabatan Perpaduan Negara
Jabatan Perpaduan Negara telah ditubuhkan pada tahun 1969
dan memainkan peranan yang sangat penting dalam menyatupadukan rakyat
Malaysia. Ia menganjurkan kelas-kelas perpaduan, yang kini dikenali
sebagai Pusat Pendidikan Tidak Formal, di seluruh negara dengan mengajar
bahasa Melayu, adat resam, nilai-nilai keagamaan masyarakat Malaysia
dan pelajaran Sivik.
Melalui Skim Rukun Tetangga,
Jabatan Perpaduan Negara menggalakkan kegiatan-kegiatan yang bercorak
muhibah atau kejiranan seperti kempen kebersihan, pertandingan sukan,
rondaan keselamatan dan kelas kejiranan.
Jabatan
Perpaduan Negara juga menganjurkan khemah kerja kejiranan bagi
mengeratkan persefahaman di kalangan belia serta menanam sifat-sifat
kewarganegaraan toleransi dan semangat perpaduan.
G. Penggabungan Parti-parti Politik melalui Barisan Nasional
Kerjasama dan persefahaman politik adalah amat penting bagi
menjamin kestabilan dan perpaduan negara. Pada tahun 1953, parti
perikatan telah ditubuhkan dan telah berjaya menubuhkan kerajaan di
Tanah Melayu pada tahun 1955. Kerjasama politik melalui muafakat dalam
parti Perikatan diperluaskan lagi dengan tertubuhnya Barisan Nasional
pada tahun 1971. Dengan tertubuhnya Barisan Nasional, telah melengkapkan
perwakilan dari pelbagai etnik dan kepentingan dalam parti pemerintah.
I. Pindaan Akta Hasutan
Pindaan Akta Hasutan mengeluarkan beberapa perkara daripada
perbincangan umum, termasuk di Parlimen dan Dewan undangan Negeri. Dua
daripada perkara utama itu ialah:
i) hak kedudukan istimewa orang-orang Melayu dan kelompok bumiputera lain negara ini; dan
ii) kedudukan raja-raja Melayu.
J. Integrasi Antara Wilayah
Kerajaan telah mengambil beberapa langkah untuk mengeratkan
lagi perpaduan di kalangan negeri-negeri. Negeri-negeri yang kurang maju
seperti Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu diberi peruntukan
perbelanjaan pembangunan yang lebih berbanding dengan negeri-negeri lain
yang dianggap maju bagi tujuan merapatkan lagi jurang perbezaan ekonomi
wilayah.
Kerajaan juga menitikberatkan integrasi
antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Sistem pendidikan di Sabah dan
Sarawak telah disatukan secara beransur-ansur ke dalam sistem pendidikan
kebangsaan.
Perhubungan antara Semenanjung, Sabah
dan Sarawak diperkukuhkan melalui perkhidmatan telekomunikasi,
pengangkutan udara dan perkhidmatan pos yang baik. Rangkaian radio dan
televisyen di Sabah dan Sarawak juga telah disatukan dengan rangkaian
radio dan televisyen nasional.
Jabatan Perpaduan
Negara seringkali menganjurkan lawatan-lawatan muhibah untuk membolehkan
pemimpin-pemimpin masyarakat Sabah dan Sarawak bertemu dan beramah
mesra dengan pemimpin-pemimpin masyarakat Semenanjung Malaysia.